Esok hari lahir mama ke-32 dan hari ini Allah tunaikan hasrat mama untuk menjadi seorang ibu. Pagi ni di pejabat, mama terima satu panggilan daripada kenalan mama, Encik Sham namanya. Encik Sham memaklumkan ada seorang bayi yang ingin dilepaskan sebagai anak angkat. Dilahirkan oleh seorang ibu berbangsa Indonesia. Bayi dilahirkan 2 minggu lebih awal daripada tarikh EDD. Dilahirkan di rumah (BBA).
Sekiranya mama setuju, kami perlu segera ke rumah ibu Sarah kerana ada pasangan India turut berminat untuk mengambil Sarah. Mama cuba hubungi papa untuk memaklumkan tentang perkara ini namun papa gagal dihubungi.
Setelah mendapat izin daripada boss mama, kami segera ke rumah ibu kandung Sarah. Tiada kata-kata yang keluar dari mulut mama setelah dapat memangku Sarah cuma air mata yang mengalir laju menjadi saksi mama insan bertuah itu.
Mama tahu ini hadiah yang Allah berikan untuk mama. Anugerah dan amanah untuk mama dan papa. Sarah, walaupun Sarah bukan lahir dari rahim mama tapi saat mama pandang Sarah, mama dah jatuh sayang pada Sarah, sayang sepenuh hati.
Sarah juga kesayangan papa, atok, nenek dan seluruh keluarga. Suatu hari bila Sarah boleh baca semua ini, mama nak Sarah tahu jangan pernah sesekali Sarah meragui kasih sayang mama dan papa. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya sayang!
Terima kasih Sarah sebab jadikan mama seorang ibu.
No comments:
Post a Comment