Monday, September 28, 2020

Sijil Warganegara

 

Alhamdulillah, selepas 3 hari kami ke JPN Putrajaya untuk mengambil Sijil Warganegara Sarah. Datang berdua je, Sarah tak perlu ikut. Syukur Ya Allah akhirnya kami berjaya mendapatkan Sijil Kewarganegaraan untuk Sarah. Proses untuk menuntut sijil tak lama yang penting kena buat janji temu terlebih dahulu. Mykid juga dalam setengah jam dah dapat. Syukur Sarah kini officially dah jadi rakyat Malaysia. Lepas ni mama dah boleh isi online pendaftaran darjah 1 untuk Sarah. 

Untuk yang ingin tahu, permohonan kewarganegaraan Sarah dibuat pada bulan Februari 2017 dan kelulusan diterima pada Februari 2020. Namun disebabkan oleh Covid-19 berlaku kelewatan dan surat rasmi hanya diterima pada bulan September 2020. 

Perjalanan ini tidak mudah namun apapun kami bersyukur sangat-sangat kerana penantian selama ini telah berakhir! Alhamdulillah... semoga Sarah menjadi warganegara yang baik dan membesar sebagai manusia yang bermanafaat untuk agama dan negara. 

Mama, papa & adik sayang kakak Sarah. Jangan pernah lupa tu!

Wednesday, September 23, 2020

Permohonan Sijil Warganegara

Hari ini mama dan papa ambil cuti untuk bawa Sarah ke JPN Putrajaya bagi proses mendapatkan Sijil Kewarganegaraan. Proses mendapatkan sijil ni boleh dibuat di JPN daerah tetapi mengambil masa lebih kurang 3 bulan berbanding 3 hari sekiranya dibuat di Putrajaya. Disebabkan pandemik Covid-19, pelanggan perlu membuat janji temu terlebih dahulu. 

Janji temu kami jam 10.30 pagi. Setibanya di JPN, kami terus diminta untuk ke Level 1 Bahagian Kewarganegaraan. Kami diminta untuk menyerahkan salinan dokumen seperti di bawah beserta bayaran RM100 untuk proses. Dokumen original juga perlu dibawa bersama. 

  1. Salinan KP bapa angkat
  2. Salinan Sijil Pengangkatan
  3. Salinan surat kelulusan daripada KDN
  4. Gambar pasport 3 keping

Sarah juga diminta untuk menurunkan cap jari ibu jari kiri dan kanan. Proses selesai sejam kemudian. Sijil boleh dituntut selepas tiga hari bekerja. Sikit lagi Sarah dah boleh jadi warganegara Malaysia. 

Syukur Alhamdulillah... 

Thursday, September 10, 2020

Keputusan Kewarganegaraan

Alhamdulillah, hari ini mama, papa dan Sarah ke Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil surat kelulusan Sarah. Pemakluman dihantar melalui surat untuk meminta kami ke KDN, Putrajaya. Mama dan papa tak tahu what to expect tapi hanya mampu berdoa semoga semuanya dipermudahkan. 

Janji temu telah dibuat terlebih dahulu melalui email. Surat kelulusan boleh diambil pada waktu bekerja dari jam 8.00 pagi sehingga 4.30 petang. Kami sampai di sana pada jam 10.00 pagi dan diminta ke Blok D2. Ini kali pertama kami menjejakkan kaki di KDN. Disebabkan oleh Covid-19, hanya papa dan Sarah sahaja yang dibenarkan untuk naik ke bahagian berkenaan. Mama diminta untuk tunggu di lobi. 

Kurang setengah jam papa dan Sarah turun. Papa serahkan sekeping surat untuk mama baca. Alhamdulillah, permohonan Sarah untuk menjadi warganegara Malaysia telahpun diluluskan. Prosedur seterusnya kami perlu bawa Sarah ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan Sijil Kewarganegaraan. Tapi kakitangan KDN telah memaklumkan kami cuma boleh pergi ke JPN 2 atau 3 minggu selepas menerima surat ini.

Ok, next ke JPN.