Monday, June 23, 2014

Akuan Berkanun

Selepas selesai dengan pendaftaran kelahiran Sarah, kami meminta Borang Akuan Berkanun daripada JPN. Borang berkenaan perlu diisi dan ada bahagian yang perlu ditandatangan oleh ibu kandung Sarah. Borang yang lengkap diisi perlu disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah dan disimpan selama 2 tahun untuk proses pengangkatan nanti. 

Borang akuan berkanun ada 2 keping; satu berwarna krim & lagi satu kertas putih A4 biasa.  

Pendaftaran Kelahiran & Laporan Polis

Sarah berusia 5 hari arini dan masih ditahan di wad berikutan tidak memiliki rekod kelahiran yang lengkap. Ibu Sarah juga tidak mendapatkan sebarang rawatan antenatal sepanjang kehamilan beliau. 

Hari ini mama minta kerjasama dari ibu Sarah untuk ke JPN bagi membuat sijil kelahiran Sarah. Tapi sebelum itu kami perlu ke balai polis terlebih dahulu untuk membuat laporan polis. Laporan pemberian Sarah kepada mama dan laporan penerimaan Sarah daripada ibu Sarah. Dua laporan polis perlu dibuat.

Memandangkan Sarah dilahirkan di rumah (BBA) tiada rekod hospital dikeluarkan untuk membuktikan kelahiran Sarah. Sedikit rumit. Namun syukur Alhamdulillah seorang kenalan mama seorang doktor bersetuju untuk mengeluarkan borang pengesahan berkenaan. Syukur sangat dikelilingi orang yang banyak membantu proses ini.

Ibu kandung Sarah perlu hadir ke JPN untuk mengeluarkan sijil kelahiran Sarah. Bukti Sarah dilahirkan di Malaysia. Sijil kelahiran berwarna pink yang membawa maksud bukan warganegara.