Tuesday, May 25, 2021

Proses Permohonan Warganegara

19 Jun 2014 
Sarah dilahirkan dan diangkatkan.

27 Dis 2016 
Permohonan pengangkatan Sarah diluluskan oleh JPN Daerah. Terima Sijil Pengangkatan.

13 Feb 2017
Permohonan kewarganegaraan Sarah dibuat di JPN, Putrajaya. Lambat sikit sebab tunggu salinan sijil nikah mama & papa. Dulu tak pernah tuntut sijil nikah sebab dah dapat kad nikah.

15 Mac 2018
Buat surat rayuan ke JPN Putrajaya berkenaan status permohonan warganegara Sarah.

12 Sep 2019
Terima surat dari JPN Putrajaya memaklumkan permohonan Sarah telah selesai diproses dan telah dihantar ke KDN Putrajaya untuk proses selanjutnya. Separuh jalan dah... Alhamdulillah.

10 Nov 2019
Hantar surat ke KDN Putrajaya untuk mengetahui status terkini permohonan Sarah.

23 Dis 2019
KDN Putrajaya membalas surat mama memaklumkan permohonan kini dalam proses dan pertimbangan sewajarnya akan diberi. Kami akan dimaklumkan melalui surat sekiranya permohonan kami diluluskan. Doa banyak2 sebab Sarah dah 5 tahun. Tahun depan nak daftar sekolah. 

10 Sep 2020
Terima surat dari KDN Putrajaya memaklumkan permohonan Sarah telah diluluskan. Tarikh kelulusan adalah pada Februari 2020. Selepas 2 minggu boleh ke JPN untuk mengambil Sijil Warganegara.

Sep 23, 2020
Hadir ke JPN Putrajaya untuk mengambil Sijil Warganegara Sarah. Terus mohon mykid. Siap dalam tempoh 1 jam. Alhamdulillah selesai semuanya...

Monday, September 28, 2020

Sijil Warganegara

 

Alhamdulillah, selepas 3 hari kami ke JPN Putrajaya untuk mengambil Sijil Warganegara Sarah. Datang berdua je, Sarah tak perlu ikut. Syukur Ya Allah akhirnya kami berjaya mendapatkan Sijil Kewarganegaraan untuk Sarah. Proses untuk menuntut sijil tak lama yang penting kena buat janji temu terlebih dahulu. Mykid juga dalam setengah jam dah dapat. Syukur Sarah kini officially dah jadi rakyat Malaysia. Lepas ni mama dah boleh isi online pendaftaran darjah 1 untuk Sarah. 

Untuk yang ingin tahu, permohonan kewarganegaraan Sarah dibuat pada bulan Februari 2017 dan kelulusan diterima pada Februari 2020. Namun disebabkan oleh Covid-19 berlaku kelewatan dan surat rasmi hanya diterima pada bulan September 2020. 

Perjalanan ini tidak mudah namun apapun kami bersyukur sangat-sangat kerana penantian selama ini telah berakhir! Alhamdulillah... semoga Sarah menjadi warganegara yang baik dan membesar sebagai manusia yang bermanafaat untuk agama dan negara. 

Mama, papa & adik sayang kakak Sarah. Jangan pernah lupa tu!

Wednesday, September 23, 2020

Permohonan Sijil Warganegara

Hari ini mama dan papa ambil cuti untuk bawa Sarah ke JPN Putrajaya bagi proses mendapatkan Sijil Kewarganegaraan. Proses mendapatkan sijil ni boleh dibuat di JPN daerah tetapi mengambil masa lebih kurang 3 bulan berbanding 3 hari sekiranya dibuat di Putrajaya. Disebabkan pandemik Covid-19, pelanggan perlu membuat janji temu terlebih dahulu. 

Janji temu kami jam 10.30 pagi. Setibanya di JPN, kami terus diminta untuk ke Level 1 Bahagian Kewarganegaraan. Kami diminta untuk menyerahkan salinan dokumen seperti di bawah beserta bayaran RM100 untuk proses. Dokumen original juga perlu dibawa bersama. 

  1. Salinan KP bapa angkat
  2. Salinan Sijil Pengangkatan
  3. Salinan surat kelulusan daripada KDN
  4. Gambar pasport 3 keping

Sarah juga diminta untuk menurunkan cap jari ibu jari kiri dan kanan. Proses selesai sejam kemudian. Sijil boleh dituntut selepas tiga hari bekerja. Sikit lagi Sarah dah boleh jadi warganegara Malaysia. 

Syukur Alhamdulillah... 

Thursday, September 10, 2020

Keputusan Kewarganegaraan

Alhamdulillah, hari ini mama, papa dan Sarah ke Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil surat kelulusan Sarah. Pemakluman dihantar melalui surat untuk meminta kami ke KDN, Putrajaya. Mama dan papa tak tahu what to expect tapi hanya mampu berdoa semoga semuanya dipermudahkan. 

Janji temu telah dibuat terlebih dahulu melalui email. Surat kelulusan boleh diambil pada waktu bekerja dari jam 8.00 pagi sehingga 4.30 petang. Kami sampai di sana pada jam 10.00 pagi dan diminta ke Blok D2. Ini kali pertama kami menjejakkan kaki di KDN. Disebabkan oleh Covid-19, hanya papa dan Sarah sahaja yang dibenarkan untuk naik ke bahagian berkenaan. Mama diminta untuk tunggu di lobi. 

Kurang setengah jam papa dan Sarah turun. Papa serahkan sekeping surat untuk mama baca. Alhamdulillah, permohonan Sarah untuk menjadi warganegara Malaysia telahpun diluluskan. Prosedur seterusnya kami perlu bawa Sarah ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan Sijil Kewarganegaraan. Tapi kakitangan KDN telah memaklumkan kami cuma boleh pergi ke JPN 2 atau 3 minggu selepas menerima surat ini.

Ok, next ke JPN.

Monday, December 23, 2019

Maklumbalas Daripada KDN

Sebulan selepas surat rayuan permohonan kewarganegaraan dihantar ke KDN, hari ini kami terima surat maklumbalas daripada KDN yang memaklumkan permohonan kami kini dalam proses dan pertimbangan sewajarnya akan diberi. Kami akan dimaklumkan melalui surat sekiranya permohonan kami diluluskan.

Alhamdulillah, lega rasanya. Walaupun permohonan kewarganegaraan Sarah belum diluluskan tapi sekurang-kurangnya kami tahu permohonan kami telah diterima. Lagipun bukan sikit permohonan yang diterima oleh KDN dan setiap permohonan memerlukan penilaian yang teliti. 

Sekarang apa yang boleh kami buat, berdoa dan tunggu dengan redha. Insya Allah, semoga Allah mempermudahkan segala urusan kami...

Sunday, November 10, 2019

Rayuan Permohonan Kewarganegaraan KDN

Hari ini mama mencuba nasib menghantar rayuan ke KDN pula. Rayuan pertama tahun lepas ke JPN. Kerisauan mama yang utama adalah sebab Sarah akan memulakan sesi persekolahan darjah 1 tahun depan. Sekiranya status Sarah masih lagi bukan warganegara akan menyulitkan proses pendaftaran sekolah Sarah selain kos yang lebih tinggi kerana tidak layak menerima sebarang subsidi di sekolah kerajaan. 

Pengalaman memohon insurans AIA untuk Sarah juga pernah ditolak kerana isu warganegara ini walaupun Sarah memiliki sijil pengangkatan. Mama juga pernah berangan nak bawa Sarah jalan makan angin main salji namun hasrat tu mama simpan saja dalam hati kerana Sarah tak dapat buat pasport. 

Adoi jem juga kepala nak fikir tapi semoga dengan pertukaran pucuk pimpinan negara akan mengurangkan kerenah birokrasi dalam menangani isu ini. 

Wednesday, September 12, 2018

Rayuan Permohonan Kewarganegaraan JPN

Selepas setahun permohonan kewarganegaraan Sarah dibuat, kami masih tidak menerima sebarang maklum balas daripada agensi yang terlibat. Mama positif tentang perihal kewarganegaraan ini kerana penganugerahan taraf kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi daripada Kerajaan Persekutuan kepada individu bukan warganegara. Namun mama tetap berharap agar permohonan ini dapat dipercepatkan bagi memudahkan urusan seharian Sarah.

Pada bulan Mac 2018 yang lalu, mama ada menghantar surat rayuan ke JPN Putrajaya untuk mendapatkan status terkini permohonan Sarah. Selepas 5 bulan kami terima surat balasan daripada JPN memaklumkan permohonan Sarah telah selesai diproses dan telah dihantar ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pertimbangan dan keputusan.

Alhamdulillah, one step closer.